Monday, August 12, 2013

FADHILAH PUASA 6 (ENAM) HARI DI BULAN SYAWAL

Selain puasa wajib pada bulan Ramadhan, syari`at Islam juga membuka peluang kepada siapa saja yang ingin berpuasa di luar bulan Ramadhan dengan puasa sunnat. Puasa-puasa sunnat adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Rasulullah s.a.w. bersabda, bahwa Allah s.w.t. berfirman (Hadits Qudsi):   

"Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu)." (Rasulullah melanjutkan): "Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah dibanding wangian kasturi." [Shahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadits no: 1151] 

Selain hadits di atas, terdapat banyak hadits lain yang menerangkan keutamaan puasa sunnat. Di antara jenis puasa sunnat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal.

Dalil Puasa Sunnah Enam Syawal

Dalilnya ialah hadits Rasulullah s.a.w.:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ (رواه مسلم)


“Barangsiapa yang telah berpuasa Ramadhan dan kemudian dia mengikutkannya dengan puasa enam hari dari bulan Syawwal, maka dia seperti orang yang berpuasa selama satu tahun.” [Shahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadits no: 1164]

Darajat Hadits Puasa Sunnat Enam Syawal

Hadits yang menjadi dalil puasa sunnat enam hari di bulan Syawal adalah shahih sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab shahihnya. Ada segelintir orang yang meragukan kesahihan hadits ini. Keraguan tersebut adalah sia-sia kerana hadits ini diriwayatkan dari beberapa sahabat dan memiliki banyak jalan periwayatan. Syaikh Abdullah bin Abdul Rahman al-Bassam menjelaskan:  

"Hadits ini nyata keshahihannya, ia datang dengan tiga jalan periwayatan selain jalan di atas (yang dikemukakan oleh Imam Muslim). Ia juga diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi dengan tiga wajah (yang berlainan) sehingga dikatakan: Sesungguhnya ia adalah hadits mutawatir. Ini kerana al-Dimyathi telah menghimpun semua jalan periwayatan hadits ini dan sanadnya dari dua puluh orang perawi, kebanyakan mereka hafiz dan thiqat." [ Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram(Maktabah al-Asri, Mekah, 2003), jld. 3, ms. 533]

Hukum Puasa Sunnat Enam Syawal

Hukumnya adalah sunnat sebagaimana jelas Syaikh Abdullah al-Bassam: "Disunnatkan berpuasa enam hari (dibulan Syawal), ini merupakan mazhab al-Salaf dan al-Khalaf serta jumhur ilmuan, termasuklah Imam Abu Hanifah, Imam al-Syafi'e dan Imam Ahmad." [ Taudhih al-Ahkam, jld. 3, ms. 533]

Kapankah Dimulakan Puasa Sunnat Enam Syawal?

Puasa sunnat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tanggal 1 Syawal adalah hari Aidil Fitri dan kita dilarang berpuasa pada hari tersebut. Abu Sa`id al-Khudri berkata: "Nabi s.a.w. melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha." [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadits no: 1991.]

Bagaimana Cara Melaksanakan Puasa Sunnat Enam Syawal?

Syarat dan adab bagi puasa sunnat enam hari dibulan Syawal sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan. Hanya saja ia boleh dilakukan dengan tidak berurutan atau terus menerus asalkan jumlah enam hari sebelum berakhirnya bulan Syawal. Kerana Rasulullah s.a.w. menganjurkan puasa sunnat enam hari ini secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya sehingga dipahami bahwa puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada hari mana saja asalkan masih dalam bulan Syawal. Akan tetapi lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan keumuman firman Allah s.w.t.:"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa." [Surah Ali Imran 3:133]

Melaksanakan Puasa Sunnat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan

Ada perbedaan pendapat di kalangan para ulama, dibolehkan berpuasa sunnat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya.

Pendapat Pertama:

Membolehkannya berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu 'anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya'ban yang akan datang. Aisyah berkata: "Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya'ban kerana sibuk (melayani) Rasulullah s.a.w.." [Shahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadits no: 1146 (Kitab al-Siyam, Bab mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Syawal). Dalam Shahih al-Bukhari, hadits no: 1950, penjelasan "kerana sibuk melayai Rasulullah" ialah penjelasan salah seorang perawi hadits yang bernama Yahya bin Sa`id.]

Para ilmuan yang mengemukakan pendapat pertama mengambil kesimpulan bahwa tidak mungkin isteri Rasulullah, yakni Aisyah, tidak melaksanakan puasa sunnat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya'ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunnat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.

Juga karena mengqadha puasa merupakan wajib muwassa' yaitu suatu kewajiban yang boleh dilakukan dalam waktu yang luas dan tidak harus segera dikerjakan.

Pendapat Kedua:

Tidak boleh puasa Syawal sebelum mengqadha puasa ramadhan. Hal ini berdasarkan hadits yang menganjurkan puasa sunnat enam Syawal setelah melakukan puasa ramadhan. Hadits tersebut berbunyi: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun."

Rasulullah s.a.w. mensyaratkan "berpuasa Ramadhan" terlebih dahulu, kemudian barulah "mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal". Ini menunjukkan puasa sunnat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunnat enam Syawal.          

Pendapat yang rajih (kuat) ialah pendapat pertama kerana alasan mereka yang cukup kuat, hanya saja sebaiknya seseorang segera membayar hutangnya sehingga ia segera terbebas dari kewajiban yang dipikulnya.

Wallahu a’lam.

No comments: