Khaulah merupakan seorang wanita yang fasih
berkata-kata, cerdik dan selalu merujuk kepada Allah dan RasulNya apabila
menghadapi sesuatu masalah. Dalam keadaan apa sekalipun, imannya tetap teguh
dan utuh. Surah al-Mujadalah menceritakan peristiwa penting yang terjadi pada
Khaulah yaitu ‘zihar’, dan ia dapat dijadikan panduan dan pengajaran kepada
seluruh umat Islam.
KAITAN KHAULAH R.HA DENGAN SURAH AL-MUJADALAH
Pada suatu hari, Aus Bin Shamit telah mengatakan kepada
Khaulah Binti Tha'labah isterinya, "Bagiku engkau ini seperti
punggung ibuku." Kemudian Aus keluar setelah mengatakan perkataan tesebut. Beberapa saat kemudian, Aus masuk dan ingin bersama dengan Khaulah. Akan
tetapi kesadaran hati dan kehalusan perasaan Khaulah membuatnya menolak hingga
jelas hukum Allah tehadap kejadian ‘zihar’ yang baru pertama kali terjadi dalam
sejarah Islam.
Khaulah berkata, "Tidak... jangan! Demi yang jiwa
Khaulah berada di tangan-Nya, engkau tidak boleh menjamahku kerana engkau telah
mengatakan sesuatu seperti yang telah engkau ucapkan terhadapku. Jadi,
tunggulah sampai Allah dan Rasul-Nya memutuskan hukum tentang peristiwa yang
menimpa kita."
Kemudian Khaulah keluar menemui Rasulullah saw dan
duduk di hadapan Nabi serta menceritakan peristiwa yang menimpa dirinya dengan
suaminya. Khaulah berdialog dan meminta fatwa tentang perkara tersebut.
Rasulullah saw bersabda: "Aku belum pernah menerima perintah (wahyu)
berkenaan urusanmu tersebut, aku tidak melihat melainkan engkau sudah haram
baginya."
Khaulah mengulangi perkataannya dan menjelaskan kepada
Rasululah saw apa yang akan menimpa dirinya dan anaknya jika dia harus
bercerai, namun Rasulullah tetap menjawab, "Aku tidak melihat melainkan
engkau telah haram baginya."
Selepas itu, Khaulah sentiasa mengangkat kedua
tangannya memohon ke hadirat Ilahi untuk menguraikan kesedihan dan kesusahan
yang terpendam di dalam hatinya itu. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh
Ibnu Majah, al-Hakim, Baihaqi serta lainnya dari 'Aisyah r.a., dia berkata
:"Maha Suci Allah yang pendengaran-Nya mendengar segala sesuatu. Sungguh
aku mendengar perkataan Khaulah binti Tsa'labah dan sebagiannya tidak dapat
ku dengar, ketika dia mengadukan perihal suaminya kepada Rasulullah saw dan
berkata : Wahai Rasulullah, dia menghabiskan masa mudaku dan aku banyak
melahirkan anak untuknya. Setelah usiaku menjadi tua dan aku berhenti
melahirkan, dia melakukan zihar terhadapku. Ya, Allah, aku
mengeluh kepada-Mu."
Kemudian turunlah wahyu (Surah al-Mujadalah ayat 1-5)
yang bermaksud:
[1] Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan
memperkenankan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad)
mengenai suaminya, sambil dia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang
menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua.
Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
[2] Orang-orang yang "ziharkan" isterinya
dari kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah, kerana) isteri-isteri
mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah
perempuan-perempuan yang melahirkan mereka dan sesungguhnya mereka (dengan
melakukan yang demikian) memperkatakan suatu perkara yang munkar dan dusta dan
(ingatlah), sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
[3] Dan orang-orang yang "ziharkan"
isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahwa
isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang
hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang
demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang munkar
itu) dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu
lakukan.
[4] Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba),
maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami
isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka
hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk
membuktikan iman kamu kepada Allah dan RasulNya (dengan mematuhi perintahNya
serta menjauhi adat Jahiliyah) dan itulah batas-batas hukum Allah dan bagi
orang-orang yang kafir disediakan azab siksa yang tidak terperi sakitnya.
ARAHAN NABI TERHADAP KHAULAH R.HA DAN SUAMINYA
Apabila turunnya wahyu, Rasulullah saw pun menjelaskan
kepada Khaulah tentang kaffarah zihar:
Nabi: Perintahkan kepadanya (suami Khaulah) untuk
memerdekakan seorang budak. Khaulah: Ya Rasulullah, dia tidak memiliki seorang
budak yang boleh dia merdekakan. Nabi: Jika demikian, perintahkan kepadanya
untuk puasa dua bulan berturut-turut. Khaulah: Demi Allah, dia adalah lelaki
yang tua dan tidak mampu untuk berpuasa. Nabi: Perintahkan kepadanya memberi
makan kurma kepada sebanyak 60 orang miskin. Khaulah: Demi Allah, ya
Rasulullah, dia tidak memilikinya. Nabi: Aku bantu separuhnya. Khaulah: Aku
bantu separuhnya yang lain, wahai Rasulullah. Nabi: Engkau benar dan baik, maka
pergilah dan sedekahkanlah kurma itu sebagai kaffarah baginya, kemudian
bergaullah dengannya secara baik. Maka Khaulah pun melaksanakan apa yang
diperintahkan oleh Rasulullah itu.
KHAULAH R.HA DAN SAYYIDINA UMAR RA
Khaulah pernah memberhentikan Khalifah Umar bin
al-Khattab ra yang sedang berjalan untuk memberikan nasihat kepadanya. Beliau
berkata, "Wahai Umar, aku telah mengenalmu sejak namamu dahulu masih Umair
(Umar kecil) tatkala engkau berada di pasar Ukaz, engkau mengembala kambing
dengan tongkatmu, kemudian berlalulah waktu hingga engkau bernama Umar,
kemudian berlalu hari demi hari sehingga memiliki nama Amirul Mukminin, maka
bertakwalah kepada Allah perihal rakyatmu, dan ketahuilah bahawa sesiapa yang
takut kepada siksa Allah maka yang jauh akan menjadi dekat dengannya, dan
sesiapa yang takut mati, maka dia akan takut kehilangan, dan sesiapa yang yakin
akan adanya hisab, maka dia takut terhadap azab Allah."
Khaulah menasihati Sayyidina Umar Amirul Mukminin,
dalam keadaan Sayyidina Umar berdiri sambil menundukkan kepalanya dan mendengar
perkataan Khaulah dengan baik. Seorang sahabat yang bersama Umar bin al-Khattab
ketika itu mengatakan kepada Khaulah, "Engkau telah banyak berbicara
kepada Amirul Mukminin wahai wanita!"
Sayyidina Umar kemudian menegurnya, "Biarkan
dia,.. tahukah kamu siapakah dia? Beliau adalah Khaulah yang Allah mendengarkan
perkataannya dari langit yang ke tujuh, maka Umar lebih berhak untuk
mendengarkan perkataannya." Dalam riwayat yang lain, Umar berkata,
"Demi Allah, seandainya beliau tidak menyudahi nasihatnya kepadaku hingga
malam hari, maka aku tidak akan menyudahinya sehingga beliau selesaikan apa
yang dia kehendaki, kecuali jika telah datang waktu solat, maka aku akan
mengerjakan solat, kemudian kembali untuk mendengarkannya hingga selesai
keperluannya."
PENGAJARAN DARI SIFAT KHAULAH R.HA
1. Kerukunan hidup suami isteri walaupun sudah tua.
Kasih sayang di antara suami isteri di atas dunia ini, akan membawa kebahagiaan
di akhirat nanti. Lantaran itu, Khaulah yang menyayangi suaminya berusaha
memastikan agar mereka tidak melakukan sesuatu yang bisa mendatangkan
kemurkaan Allah.
2. Senantiasa mencari penyelesaian dengan merujuk kepada
Allah dan RasulNya. Alangkah baiknya seorang wanita muslimah seumpama Khaulah,
beliau berdiri di hadapan Rasulullah saw dan berdialog untuk meminta fatwa,
serta mengadu perihal dirinya kepada Allah. Ini adalah bukti kejernihan iman
dan tauhid yang tersemat kukuh dalam hati sanubari hasil yang telah dipelajari
dari Rasulullah saw.
3. Isteri yang sholehah. Nabi saw bersabda mengenai hal
ini yang bermaksud: "Tidaklah orang mukmin mendapat faedah sesudah taqwa
kepada Allah yang lebih baik daripada isteri yang sholehah. Jika dia
menyuruhnya, maka isteri mentaatinya. Jika dia memandang kepadanya, isteri
menyenangkannya. Jika dia tidak ada di rumah, isteri memelihara harta dan
kehormatan suaminya." Dalam hadis yang lain, nabi saw bersabda yang
bermaksud: “Dunia ini perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita
(isteri) yang sholehah".
4. Allah membatalkan hukum zihar yang merupakan
perceraian pada zaman Jahiliyyah, sebaliknya digantikan dengan kaffarah.
5. Wajib kembali kepada al-Quran dan Sunnah dalam
sesuatu hukum.
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment