Rasulullah S.A.W bersabda, “Aku masuk
ke syurga lalu terdengar sebuah suara di hadapanku. Ternyata beliau ialah
Al-Ghumaisha’ bintu Milhan” [HR Bukhari]
“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu kekal di
dalam taman-taman dan sungai-sungai di tempat yang disenangi, di sisi Yang Maha
Berkuasa” [Al-Qamar: 54-55]”
BERSAMA
ORANG-ORANG ANSAR
Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam pernah
mendoakan orang-orang Anshar dengan doa baginda yang sangat istimewa;
“ Ya Allah, rahmatilah orang-orang Anshar dan anak
orang-orang Anshar serta cucu orang-orang Ansar” [HR Bukhari dan Muslim]
Srikandi tauladan kita kali ini ialah salah seorang
wanita Ansar, yang termasuk di kalangan shahabiyah yang mulia dan paling utama.
Beliau menghimpunkan ilmu, kebijaksanaan, keberanian, kemurahan hati, kesucian
peribadi dan keikhlasan yang tulus semata-mata bagi Allah dan RasulNya.
Jiwa wanita yang bijaksana ini telah dipenuhi dengan
iman sejak pertama kali beliau mendengarnya, lalu beliau menghadirkan fenomena
tersendiri yang menyaksikan kecemerlangan, kemuliaan dan kebaikan dirinya
sepanjang zaman. Shahabiyah terbaik ini juga ialah ibu kepada seorang sahabat
yang terbaik, yang mendapatkan kedudukan khusus di sisi Rasulullah Sallallahu
Alaihi wa Sallam, yaitu Anas bin Malik. Abu Nu’aim Al-Asybahany mengungkapkan
jati diri wanita ini dengan berkata, “Ummu Sulaim adalah wanita yang tunduk
kepada keputusan orang yang dicintainya, yang biasa membawa tombak di dalam
peperangan!”
Di kesempatan ini, marilah kita susuri nasab shahabiyah
yang mulia ini, yang biografinya harum semerbak, enak didengar dan menyenangkan
hati. Beliaulah Ummu Sulaim bintu Milhan bin Khalid bin Zaid bin Haram
An-Najariyah Al-Anshariyah Al-Khazrajiyah. [Siyar Alamin-Nubala, 2/304]. Semoga
mujahidah yang sabar, khusyuk, mulia, patuh beragama serta berkedudukan ini
menjadi tauladan buat kita semua.
KETEGUHAN
IMAN UMMU SULAIM
Sejak hari pertama keIslamannya, Ummu Sulaim telah
menyajikan keteguhan peribadi yang mengagumkan dan layak untuk diteladani. Ini
menunjukkan barakah dan ketajaman akalnya, disamping iman, keikhlasan dan
kebenarannya. Beliau telah memeluk Islam dan ikut berbaiat di saat suaminya
ketika itu (Malik bin An-Nadhar, ayah kepada Anas bin Malik) berada di luar
Madinah.
Iman meresap ke dasar hatinya dan kekal terpateri di
sana. Beliau mencintai Islam dengan kecintaan yang sangat mendalam, sehingga
kerana itu beliau tetap teguh di hadapan suaminya yang masih musyrik. Kisah
menarik ini merupakan kisah yang mengangkat martabat Ummu Sulaim dan menempatkan
beliau setaraf dengan para muslimin di awal dakwah Islam di kalangan kaum
Ansar. Ayuh kita ikuti kisah ini.
Sejurus selepas pengislaman Ummu Sulaim, suaminya
kembali seraya memarahi beliau dengan berkata, “Apakah engkau telah murtad?”.
Ummu Sulaim lantas menjawab dengan tegas,
“Aku tidak murtad, tetapi aku telah beriman dengan orang ini
(Rasulullah)”. Tidak cukup dengan itu, beliau turut memimpin tangan anaknya,
Anas dan mengisyaratkan Anas agar mengucapkan lafadz syahadatain. Anas akur.
Malik, suami Ummu Sulaim semakin marah dengan tindakan isterinya sehingga
beliau menengking dengan kasar, “Jangan kau rusak anakku!”. Tetapi dengan
penuh kebijaksanaan Ummu Sulaim menjawab, “Sesungguhnya aku tidak
merusaknya, tetapi menunjukinya kepada kebenaran”. Dengan membawa kemarahan
yang menggumpal, Malik bin An-Nadhar memulakan perjalanan ke Syam, tetapi
dibunuh musuhnya di pertengahan perjalanan tersebut. Ketika berita kematian
suaminya sampai ke pengetahuan Ummu Sulaim, beliau menerimanya dengan berlapang
dada dan bertekad untuk memelihara Anas sebaik-baiknya. Beliau juga berjanji
tidak akan berkahwin semula sehinggalah Anas membenarkannya berbuat demikian.
Sejak itu, perhatian beliau tertumpah kepada
pendidikan anaknya. Beliau mengajarkan Anas tentang kecintaan kepada Rasulullah
Sallallahu Alaihi wa Sallam dan Islam. Setelah Baginda Rasul tiba di Madinah
sebagai muhajir, Ummu Sulaim segera mendatangi baginda dengan membawa Anas yang
ketika itu masih kanak-kanak dan belum mencapai usia baligh. Beliau berkata
kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam:
“Wahai Rasulullah, ini Unais (nama kecil Anas). Aku
mendatangi engkau agar dia mengabdi kepada engkau. Maka berdoalah kepada Allah
bagi dirinya” Maka, baginda bersabda, “Ya Allah, perbanyakkanlah harta dan
anaknya” (Dala’ilun-Nubuwwah, 6/194-195).
Anas mendapat bimbingan dan pengasuhan di rumah
Rasulullah yang kemudiannya menghantarkan beliau kepada kedudukan mulia sebagai
salah seorang shahabat terkemuka.
Ummu Sulaim benar-benar mengotakan janji yang pernah
diucapkan kepada anaknya. Beliau mendidik Anas dengan sebaik-baik didikan,
sehingga Anas pernah berkata, “Semoga Allah memberikan balasan kebaikan kepada
ibuku kerana beliau telah mengasuhku dengan sangat baik” .
MAHAR YANG
PALING INDAH
Ummu Sulaim juga tidak menerima lamaran-lamaran yang
datang kepadanya sehinggalah Anas berusia cukup dewasa. Beliau kemudiannya
dilamar oleh Abu Talhah Al-Anshary yang ketika mengajukan lamaran tersebut
masih seorang musyrik. Ummu Sulaim dituntut untuk mempertimbangkan lamaran
lelaki tersebut kerana Abu Talhah merupakan seorang yang berpengaruh di dalam
masyarakat. Ketika Abu Talhah menemui beliau buat kali kedua untuk tujuan yang
sama, Ummu Sulaim menjawab lamaran tersebut dengan berkata
“Wahai Abu Talhah, lelaki seperti engkau tidak layak
untuk ditolak. Tetapi engkau seorang kafir, sementara aku wanita Muslimah dan
tidak mungkin bagiku untuk menikahi engkau”
“ Apa yang perlu kulakukan untuk tujuan itu?” tanya
Abu Talhah.
“Hendaklah engkau menemui Rasulullah Sallallahu Alaihi
wa Sallam” Jawab Ummu Sulaim.
Abu Talhah segera beranjak untuk menemui Rasulullah
yang ketika itu sedang duduk di tengah-tengah para shahabat. Ketika melihat
kehadiran Abu Talhah, baginda Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, “Abu Talhah
mendatangi kalian, dan tanda-tanda keislaman tampak di antara kedua matanya”.
Abu Talhah memberitahu Rasulullah apa yang dikatakan Ummu Sulaim. Akhirnya, Abu
Talhah memeluk Islam di hadapan baginda dan para shahabat. Beliau juga bersetuju
menikahi Ummu Sulaim dengan mahar ke-Islamannya. Ummu Sulaim berkata kepada anaknya,
“ Wahai Anas, bangkitlah dan nikahkanlah Abu Talhah”.
Tentang kisah pernikahan yang diberkati ini, Tsabit
bin Aslam Al-Banany, salah seorang Tabi’in berkata, “Kami tidak pernah
mendengarkan mahar yang lebih indah dari maharnya Ummu Sulaim, yaitu Islam!”
(Shifatush Shafwah, 2/66; Siyar A’lamin-Nubala’, 2/29).
Firasat Ummu Sulaim terhadap Abu Talhah ternyata
benar, sehingga beliau meraih kebahagiaan karena kebaikan, keikhlasan dan
kemuliaan suaminya. Abu Talhah juga berhak mengecap kebahagiaan kerana
pernikahannya dengan seorang wanita Mukminah yang bertakwa, Ummu Sulaim, yang
karena beliaulah, Abu Talhah keluar dari kegelapan syirik ke cahaya tauhid,
Islam dan jihad. Allah kemudiannya memuliakan suami isteri ini dengan kelahiran
seorang anak lelaki yang diberi nama Abu Umair.
Ternyata Allah Subhanahu wa Taala berkehendak untuk
menguji keluarga suci ini, yang sedari hari pertamanya lagi telah dibangun
dengan ketakwaan. Di sinilah Ummu Sulaim tampil dengan gambaran istimewa lagi
mengagumkan dari kisah-kisah shahabayiyah sezaman beliau. Beliau menghadirkan
keutamaan sehingga tindakannya ini mekar sepanjang sejarah hingga Allah
Subhanahu wa Taala mempusakakan dunia dan seisinya.
Suatu hari, Umair jatuh sakit dan meninggal dunia
ketika Abu Thalhah pergi ke masjid. Ummu Sulaim menerima pemergian anak kecil
itu dengan jiwa yang redha dan sabar seraya berucap, “Inna lillahi wa inna
ilaihi raji’un”. Beliau membaringkan jasad anaknya di atas tempat tidurnya dan
berkata kepada ahli keluarganya yang lain,”Jangan kalian sampaikan khabar ini
kepada Abu Talhah berkenaan anaknya. Biar aku saja yang menyampaikan hal ini
kepadanya”.
Sekembalinya dari masjid, Abu Talhah bertanya keadaan Umair, “Bagaimanakah keadaan anakku?”
“Dia lebih tenang dari keadaan sebelumnya” jawab Ummu
Sulaim. Kemudian Ummu Sulaim menghidangkan makan malam kepada Abu Talhah dan
menghiaskan dirinya secantik mungkin. Pada malam tersebut, mereka berjima’ dan
setelah selesai, Ummu Sulaim mengkhabarkan kematian Umair kepada suaminya. Abu
Talhah bersedih serta timbul kemarahan di hatinya. Beliau mendatangi Rasulullah
dan menceritakan perlakuan isterinya. Mendengarkan kisah tersebut, Rasulullah
Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, “Segala puji bagi Allah yang telah
menjadikan di tengah umatku seorang wanita yang sabar seperti kesabaran wanita
Bani Israel”. (As-Sirah Al-Halabiyah, 3/74)
Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bertanya kepada
Abu Talhah, “Apakah semalam kalian telah berjima’?”. “Ya”. Jawab Abu Talhah.
Rasulullah mendoakan keberkahan bagi pasangan tersebut dan doa baginda
Sallallahu Alaihi wa Sallam ini dikabulkan oleh Allah Subhanahu wa Taala,. Ummu
Sulaim melahirkan anak lelaki yang diberi nama Abdullah hasil dari perhubungan
tersebut. Diriwayatkan, Abdullah bin Abu Talhah termasuk orang-orang yang
sholeh. Tanda itu jelas terlihat di wajahnya. Abayah bin Rafi’ berkata, “ Aku
melihat anak itu di kemudian hari mempunyai tujuh anak lelaki yang kesemuanya
hafal Al-Quran” (Ath-thabaqat, 8/334; Sifathush-Shafwah, 2/69;
Dala’ilun-Nubuwwah, 6/199)
APAKAH YANG
ENGKAU MILIKI WAHAI UMMU SULAIM?
Ummu Sulaim radhiallahu anha sentiasa memberikan
hadiah dan makanan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Allah
Subhanahu wa Taala juga memuliakan beliau dan memberkati pemberiannya kepada
baginda Rasul.
Kisah ini dituturkan sendiri oleh Anas bin Malik
ketika mengkhabarkan barakah dari kebiasaan ibunya itu. Ummu Sulaim pernah
mengarahkan seorang pembantunya untuk menghantarkan makanan berupa daging
kambing kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Selesai menghantarkan
pemberian tersebut, kantung kosong tersebut dikembalikan ke rumah Ummu Sulaim
di saat beliau tiada di rumah. Sekembalinya ke rumah, Ummu Sulaim mendapati
kantung tersebut masih penuh berisi. Lantas, beliau kembali kepada Rasulullah
Sallallahu Alaihi wa Sallam untuk meminta kepastian.
Ummu Sulaim berkata, ” Demi yang mengutusmu dengan
kebenaran dan agama yang benar, kantung ini masih penuh berisikan makanan yang
kuberikan padamu sedangkan engkau wahai Rasulullah telah menerimanya dari
pembantuku”
Baginda lantas menjawab, ”Wahai Ummu Sulaim, apakah
engkau hairan kerana Allah telah memberikan makanan kepadamu sebagaimana engkau
telah memberikan makanan kepada RasulNya? Makanlah dan berikanlah makanan itu
kepada yang lain”. Ummu Sulaim kembali ke rumahnya dan membagikan makanan itu
di dalam sebuah mangkuk besar untuk 2000 orang sehingga ia menjadi bekalan
makanan untuk tempo sebulan atau dua bulan! (Hayatus-Sahabah, 3/635)
Anas turut menceritakan bahawa ibunya sering
mengirimkan talam yang berisi kurma segar kepada baginda Sallallahu Alaihi wa
Sallam kerana mengetahui kesukaan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam itu.
Dalam kisah yang lain, Abu Talhah pernah memberitahu kepada Ummu Sulaim tentang
keadaan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam yang sedang menahan lapar yang
teramat sangat dengan berkata, ” Aku mendengar suara Rasulullah Sallallahu
Alaihi wa Sallam melemah. Aku melihat beliau merasa lapar. Maka, apakah engkau
mempunyai sesuatu yang boleh diberikan kepada baginda?”. Ummu Sulaim segera
mengeluarkan beberapa gumpalan adunan roti dari tepung gandum dan menyuruh
anaknya, Anas untuk mengirimkannya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa
sallam yang sedang berada di masjid bersama dengan para sahabat.
Oleh kerana ramainya para sahabat yang mengelilingi
Rasulullah ketika itu, Anas merasa malu untuk menyampaikan pemberian yang
sedikit itu. Menyedari kehadiran Anas, Rasulullah segera menyapanya dengan
berkata, ” Adakah orang tuamu mengutusmu ke sini?”. Anas mengiyakan. Rasulullah
segera bersabda kepada para sahabat untuk berangkat ke rumah Abu Talhah. Di
saat itu, Abu Talhah mulai ragu kerana mereka tidak memiliki sesuatu apapun
untuk dihidangkan kepada para tetamu yang ramai tetapi Ummu Sulaim mencelah,
”Percayalah, Allah dan RasulNya lebih mengetahui!”
” Wahai Ummu Sulaim! Apakah yang engkau miliki saat
ini?” Tanya Rasulullah.
Ummu Sulaim membawakan beberapa gumpalan roti yang
ingin diberikannya kepada Rasulullah sebelumnya. Baginda mendoakan barakah ke
atas pemberian tersebut, maka mereka semua menikmati makanan tersebut sehingga
kekenyangan, walhal bilangan para sahabat ketika itu mencecah 90 orang lelaki.
Subhanallah! (Tarikhul Islam, Adz-Zahaby, 1/357; Dala’ilun-Nubuwwah,2/532;
Wafa’-ul-wafa’, 3/881-882. Diriwayatkan oleh Muttafaq Alaih. Imam Malik turut
meriwayatkannya di dalam Al-Muwaththa’).
Kedermawanan dan kemurahan hati Ummu Sulaim tidak
berhenti setakat di situ sahaja. Ketika Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam
menikahi Zainab binti Jahsy, beliaulah yang menyediakan jamuan walimatul urus
tersebut dengan menghidangkan makanan kegemaran Rasulullah sendiri. Barakah
dari pemberian tersebut juga (dengan izin Allah) dapat menampung bilangan para
sahabat yang ramai menghadiri majlis tersebut.
Maha suci Allah di atas segala kebaikan dan keberkatan
yang dikurniakan kepada hamba-hambaNya yang beriman!
WANITA YANG
MEMENUHI HAK DAN KEBAJIKAN
Ummu Sulaim radhiallahu anha termasuk di kalangan para
shahabiyah utama yang bijaksana, memiliki pendapat yang lurus, kecerdikan dan
firasat yang tinggi disamping berada pada akhlak-akhlak yang mulia serta menghimpun
beberapa sifat yang baik dan suci. Lantaran keperibadiannya inilah, beliau
sering mengajukan persoalan-persoalan berkaitan agama kepada Rasulullah.
Tentang sikap beliau ini, Ummul Mukminin Aisyah radhiallahu anha pernah
berkata, ” Sebaik-baik wanita ialah wanita-wanita Anhsar. Mereka tidak merasakan
malu untuk bertanya tentang masalah-masalah agama dan untuk memahaminya”
(Ath-Thabaqat, 8/421).
Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam juga sering
mengajarkan pelbagai masalah agama dan ibadah kepada beliau. Di antaranya
seperti yang diungkapkan oleh Anas bin Malik, ”Rasulullah Sallallahu Alaihi wa
Sallam mengunjungi Ummu Sulaim lalu mendirikan solat tathawu’ di rumah beliau,
lalu beliau bersabda, ”Wahai Ummu Sulaim, jika engkau sudah selesai mendirikan
solat wajib, maka ucapkanlah subhanallah sepuluh kali, alhamdulillah sepuluh
kali dan Allahu Akbar sepuluh kali, kemudian mohonlah kepada Allah menurut
apapun kehendakmu, karena dengan demikian akan dikatakan kepadamu, ’Ya,
ya,ya!’”
Dengan akhlak dan kecintaan beliau kepada Allah dan RasulNya jualah yang menghantarkan beliau kepada kedudukan yang tinggi di sisi baginda Rasul, sehingga baginda sering mengajarkan dan memberikan pengarahan secara halus dalam pelaksanaan ibadah beliau. Ibnu Sa’d menyebutkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam pernah bertanya, ”Mengapa Ummu Sulaim tidak menunaikan haji bersama kami pada tahun ini?”
Ummu Sulaim menjawab, ”Wahai Nabi Allah, suamiku hanya
memiliki dua ekor unta. Yang satu digunakannya untuk menunaikan haji dan
satunya lagi dia tinggalkan untuk mengairi kebun kurmanya”
Maka baginda bersabda,” Jika tiba bulan Ramadhan, maka
kerjakanlah umrah, kerana umrah pada bulan tersebut setara dengan haji di bulan
Zulhijjah”. Dalam hadith lain, beliau bersabda,”Umrah pada bulan Ramadhan itu
akan menggantikan hajimu bersamaku”.
KEBERANIAN
DAN JIHADNYA
Kita telah mengenali tokoh wanita kali ini sebagai
seorang wanita yang terpandang, mulia dan terhormat, termasuk golongan wanita
yang terawal menerima Islam. Kita juga telah mengenalinya sebagai isteri yang
solehah, ibu yang penuh kasih sayang, ahli ibadah yang taat, dermawan dan murah
hati. Lalu, bagaimana pula dengan jihadnya?
Tidak dapat diragukan bahawa beliau sering terlibat
dalam pelbagai peristiwa penting, malah menyertai sejumlah wanita lain yang
ikut berjihad bersama Rasulullah. Ath-Thabrany mentakhrij dari Ummu Sulaim
radhiallahu anha, beliau berkata, ”Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam
berperang yang disertai beberapa wanita dari kalangan Ansar, lalu kami memberikan
minum orang-orang yang sakit dan mengubati orang-orang yang terluka”
Diriwayatkan juga dari Anas bin Malik ra, beliau
berkata, "Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam pernah berperang bersama
Ummu Sulaim serta beberapa wanita lain di kalangan Ansar, yang bertugas
memberikan minuman dan mengubati orang-orang yang terluka.” (Ditakhrij Muslim)
Al Imam Adz-Zahaby Rahimahullah menyebutkan bahawa
Ummu Sulaim radhiallahu anha ikut bersama di dalam Perang Hunain dan Uhud, dan
dia termasuk wanita yang utama. (Siyar A’lamin-Nubala’, 2/304).
Muhammad bin Sirin, seorang tabi’in mulia pernah
menyebutkan bahawa Ummu Sulaim menyertai Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam
di Perang Uhud padahal ketika itu beliau sedang mengandungkan anaknya, Abdullah
bin Abu Thalhah. Beliau membawa bersamanya sebuah tombak pendek yang diselitkan
di pinggangnya. Abu Thalhah menemui Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam
untuk mengkhabarkan tindakan isteri beliau. Hasilnya, Rasulullah Sallallahu
Alaihi wa Sallam tersenyum mendengarkan tingkah sahabiyyah terdekat tersebut.
Baginda lantas bertanya kepada Ummu Sulaim tentang kegunaan tombak pendek itu
dan dijawab dengan berani oleh beliau, ”Jika ada salah seorang antara
orang-orang Musyrik mendekatiku, maka aku akan menikamnya dengan tanganku
sendiri!”
Inilah dia salah seorang sahabiyyah yang mendapat
kemuliaan jihad di sisi barisan kaum Muslimin. Semoga Allah Subhanahu wa Taala
mengurniakan balasan setimpal buat beliau.
KERANA AKU
SANGAT MENYAYANGINYA!
Di antara bukti yang menunjukkan bahawa Ummu Sulaim
memiliki kedudukan yang khusus dan istimewa di sisi Rasulullah boleh dinilai
dari pertuturan Anas bin Malik, ”Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam tidak
biasa memasuki rumah lain selain rumah Ummu Sulaim.Ketika hal ini ditanyakan
kepada Baginda Rasul, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, ’Kerana
aku sangat menyayanginya, saudaranya terbunuh ketika bersama aku” (Diriwayatkan
oleh Al-Bukhari dan Muslim).
Saudaranya yang dimaksudkan di sini ialah Haram bin
Milhan, yang turut sama berjihad di medan Badar, Uhud, lalu gugur syahid fi
sabilillah dalam Perang Bi’r Ma’unah pada tahun keempat setelah hijrah.
Beliaulah yang mengucapkan kata-kata terkenal ”Demi Rabb Kaabah! Aku telah
meraih keberuntungan yang besar” sejurus selepas beliau ditikam musuh dari arah
belakang sehingga hujung tombak menembusi dadanya dan mata tombak terlihat dari
arah hadapan tubuhnya. Semoga Allah redha kepadaNya seperti redhanya beliau
kepada Tuhannya. (Siyar A’lamin-Nubala’, 2/307; Al-Ibtishar, hal. 36).
Rasulullah sangat sering mengunjungi Ummu Sulaim di
rumah beliau, memberikan sesuatu dan mendoakan keluarga tersebut. Anas
meriwayatkan hal ini dengan berkata,” Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam
datang ke rumah kami, sementara yang ada di rumah hanya aku, ibuku, dan ibu
saudaraku, lalu beliau bersabda, ’Bangunlah kalian, kerana aku akan solat
bersama kalian. Para wanita solat di sebelah kanan baginda. Selesai solat,
baginda mendoakan segala kebaikan dunia dan akhirat bagi kami” (Al-Ibtishar, hal.
39-40).
Anas juga pernah menuturkan, ”Jika Rasulullah
Sallallahu Alaihi wa Sallam lalu tidak jauh dari tempat Ummu Sulaim, maka
baginda akan menemuinya dan mengucapkan salam kepadanya” (Diriwayakan oleh
Al-Bukhari, Muslim dan Nasaei)
Maka, cukuplah kebanggaan dan kemuliaan bagi Ummu
Sulaim kerana Rasulullah sendiri telah mengkhususkan kunjungan, salam, doa dan
solat di rumahnya.
NISA’
MUBASYSYARAT BIL JANNAH!
Sahabiyah Ummu Sulaim radhiallahu anha adalah salah
seorang wanita utama yang meninggalkan jejak yang abadi di dalam sejarah Islam.
Al Imam An-Nawawy Rahimahullah berkata tentang dirinya, ” Dia termasuk
wanita-wanita yang utama” (Tahdzibul-Asma’, 2/363).
Beliau seorang isteri yang solehah, daie yang
bijaksana dan pendidik yang utama dengan cara menyerahkan anaknya ke madrasah
Nubuwwah untuk menceduk ilmu dan hikmah langsung dari sumbernya sehingga anak
beliau meraih gelar dan darjat yang tinggi di sisi Rasulullah Sallallahu Alaihi
wa Sallam.
Di samping itu, Ummu Sulaim radhiallahu anha juga
seorang penghafal hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Beliau
meriwayatkan empat belas hadis dari baginda, dua hadis Muttafaq Alaihi, satu
hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan dua hadis diriwayatkan oleh Muslim.
Ummu Sulaim radhiallahu anha juga mendapatkan khabar
gembira sebagai salah seorang nisa’ mubasysyarat bil jannah (wanita yang
dijamin syurga). Khabar ini disampaikan melalui Anas bin Malik radhiallahu anhu
yang menuturkan dari sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, ”Aku masuk
syurga lalu aku terdengar sebuah suara di hadapanku. Ternyata aku sedang
berhadapan dengan Al-Ghumaisya’ bintu Milhan” [HR Bukhari]
Al-Ghumaisya’ dalam hadis di atas ialah Ummu Sulaim
radiallahu anha. Sesungguhnya keberuntungan yang besar bagi diri sahabiyah
utama ini atas keredhaan Allah dan kecintaan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa
Sallam terhadapnya.
Wallahu 'alam.
No comments:
Post a Comment