Monday, April 1, 2013

ADAB MAKAN DAN MINUM

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ڪُلُواْ مِن طَيِّبَـٰتِ مَا رَزَقۡنَـٰكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ لِلَّهِ إِن ڪُنتُمۡ إِيَّاهُ تَعۡبُدُونَ
Maksudnya: "Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah." (Surah al-Baqarah 2:172)

 يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ خُذُواْ زِينَتَكُمۡ عِندَ كُلِّ مَسۡجِدٍ۬ وَڪُلُواْ وَٱشۡرَبُواْ وَلَا تُسۡرِفُوٓاْ‌ۚ إِنَّهُ ۥ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُسۡرِفِينَ
Maksudnya: "Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan." (Surah al-A'raf 7:31)

Marilah kita mempelajari adab makan dan minum melalui hadith Nabi SAW. Mengikuti sunnah Nabi SAW adalah sangat penting bagi setiap muslim. Makan dan minum juga adalah sebagian dari hak badan yang perlu kita tunaikan sebagaimana sabda Nabi SAW:

ان لجسدك عليك حقاً
"Sesungguhnya tubuh kamu mempunyai hak yang harus kamu penuhi." (Muttafaqun 'alaih)

1. MEMBASUH TANGAN

Membasuh tangan itu menurut satu pendapat bukanlah merupakan suatu sunnah secara umum. Ini kerana ia bergantung kepada keadaan yaitu jika tangan kotor maka dibasuh dan jika tidak cukup dengan menyapu tangan. Pendapat ini berdasarkan dua hadits yang menyebutkan:

"Bahwa Rasulullah SAW masuk ke tandas kemudian baginda keluar, maka baginda makan dan baginda tidaklah menyentuh air." (HR An-Nasaa'i)

Satu lagi hadits menyebutkan:

"Bahawa Rasulullah SAW apabila baginda ingin tidur, sedangkan baginda berjunub, maka baginda berwudhu' (seperti wudhu') untuk sholat dan apabila baginda ingin makan maka baginda membasuh kedua tangan baginda (lebih dulu)."

2. MEMBACA BISMILLAH

Nabi SAW bersabda kepada seorang kanak-kanak yang makan di samping baginda: "Wahai kanak-kanak, sebutlah nama Allah..." (HR Bukhari dan Muslim)

Ini merupakan satu suruhan yang jelas mengenai membaca Bismillah.

3. BERKUMPUL/BERJAMAAH SEWAKTU MAKAN

Adalah digalakkan berkumpul sewaktu makan menurut cara yang dibenarkan syara’ yaitu tiada percampuran antara lelaki perempuan bukan mahram.

Rasulullah SAW bersabda: "Maka hendaklah kamu berkumpul untuk makan makanan kamu dan sebutlah nama Allah agar diberkati kamu padanya." (HR Abu Daud)

4. MAKAN DAN MINUM DENGAN TANGAN KANAN

Rasulullah SAW bersabda:

إذا أكل أحدكم فليأكل بيمينه وليشرب وليأخذ بيمينه وليعط بيمينه فإن الشيطان يأكل بشماله ويشرب بشماله ويعطي بشماله ويأخذ بشماله
"Apabila salah seorang kamu makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya dan apabila dia minum, maka hendaklah dia minum dengan tangan kanannya, kerana sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya." (Sahih Muslim)

5. MULAI MAKAN DARI BAGIAN TEPI/PINGGIR, TIDAK DI TENGAH

Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seseorang kamu makan suatu makanan, maka janganlah dia (mula) makan makanan yang berada di puncak pinggan, akan tetapi hendaklah dia makan makanan daripada bagian di sebelah bawahnya, kerana sesungguhnya keberkatan itu turun daripada puncaknya (ke bawah)." (HR Abu Daud)

6. TIDAK TONGKAT TANGAN

Nabi SAW bersabda kepada seorang lelaki di samping baginda: "Saya tidaklah makan sedangkan saya (di kala itu) bertongkat tangan." (HR Bukhari)

Juga digalakkan makan di dalam keadaan cara duduk berlutut dan menghulurkan kedua telapak kaki atau mendirikan kaki kanan dan duduk di atas kaki kiri (separuh bertempoh) atau bersila.

Kurang digalakkan makan di atas meja beserta duduk di atas kerusi karena duduknya selesa dan tempo makannya menjadi lama.

7. TIDAK MENCELA MAKANAN

Abu Hurairah r.a. pernah memberitakan: "Tiadalah sekali-kali Nabi SAW mengaibkan/mencela makanan (yang terhidang). Jika baginda berselera, baginda memakannya, dan jika tidak, baginda meninggalkannya." (HR Bukhari)

8. BERBICARA MENGENAI KEBAIKAN MAKANAN

Semasa makan, para Ulama' menggalakkan untuk bercakap-cakap mengenai kebaikan makanan. Akan tetapi ia tidak bermaksud bercakap di ketika makanan berada di dalam mulut.

9. MAKAN SUAPAN YANG TERJATUH

Jaabir bin Abdullah r.a. memberitakan Rasulullah SAW telah bersabda: "Apabila suapan seseorang diantara terjatuh maka hendaklah dia mengambilnya, hendaklah dia membuang kotoran padanya dan hendaklah dia memakannya dan janganlah dia meninggalkannya untuk syaitan (secara mubadzir)." (HR Muslim)

10. TIDAK BERNAFAS DALAM BEKAS MINUMAN

Ibnu Abbas r.a. memberitakan: "Sesungguhnya Nabi SAW melarang bernafas dalam gelas minuman atau menghembuskan ke dalamnya." (HR At-Tirmidzi)


11. MAKAN SEKADAR MEMENUHI KEPERLUAN

Umat Islam tidak seharusnya makan berlebih-lebihan sehingga menyebabkan dirinya terlalu kenyang. Memakan terlalu banyak boleh memberi kemudharatan kepada individu itu sendiri bahkan boleh mengakibatkan seseorang itu menjadi malas. Nabi SAW bersabda:

مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ، بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ، فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ، وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ، وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ
"Tidaklah anak cucu Adam mengisi bekas yang lebih buruk dari perutnya. Sebenarnya beberapa suap saja sudah cukup untuk menegakkan tulang belakangnya. Kalau dia harus mengisinya, maka sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga lagi untuk bernafas." (Riwayat Ahmad, at-Tirmidzi dan Ibn Majah. at-Tirmidzi mengatakan hadits ini hasan.) 

Di dalam hadits lain yang diriwayatkan dari Ibn 'Umar, baginda bersabda:

المؤمن يأكل في معى واحد والكافر يأكل في سبعة أمعاء
"Seorang mukmin makan dengan satu usus, sementara orang kafir makan dengan tujuh usus." (Riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Majah)

12. LARANGAN MAKAN SAMBIL MENIARAP

Salim meriwayatkan dari sumber bapaknya: "Bahwa Nabi SAW melarang seorang lelaki makan sedang dia duduk meniarap." (HR Ibnu Maajah)

13. UCAPAN PENJAMU: "MAKANLAH!"

Terdapat satu hadits yang dihujungnya berbunyi:"... Maka sentiasalah baginda SAW bersabda, "Silahkan minum!" (HR Bukhari)

Oleh itu sangatlah dituntut kepada para penjamu makanan agar mengucapkan kata seperti itu kepada orang-orang yang hendak makan.

14. MENJILAT JARI SESUDAH MAKAN

Rasulullah SAW menyuruh umatnya menjilat jari sesudah makan. Baginda SAW bersabda:

إذا أكل أحدكم طعاما فلا يمسح يده حتى يلعقها ، أو يلعقها
"Apabila salah seorang di antara kamu selesai makan, hendaklah dia tidak membersihkan tangannya sehingga menjilatnya atau makanan itu dijilatkan." (Riwayat al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Thabrani, al-Baghawi, al-Haitsami, al-Baihaqi dan Abu Na'im)

Di dalam riwayat lain baginda bersabda:

"Sesungguhnya kamu tidaklah mengetahui (bagian) manakah (makanan kamu) yang mengandungi keberkahan." (HR Muslim)

15. LARANGAN BANGUN SEHINGGA HIDANGAN DIANGKAT

Hadits menyebutkan: "Apabila telah dihidangkan suatu hidangan, maka janganlah seseorang bangun sehingga diangkatkan hidangan; dan janganlah dia mengangkatkan tangannya (berhenti makan) sekalipun dia sudah kenyang sehingga jamaah/kumpulan (bersamanya) selesai makan; dan hendaklah dia menunggu kumpulan itu; kerana sungguhnya seorang lelaki itu akan merasa malu duduk (lagi), maka dia akan berhenti makan; dan barangkali dia masih perlu untuk makan." (HR Ibnu Majah)

16. MEMUJI ALLAH SWT DAN MENGUCAPKAN ALHAMDULILLAH SELEPAS MAKAN

Terdapat beberapa doa selepas makan yang telah diajarkan oleh Nabi SAW.

Kita juga turut digalakkan untuk mendoakan untuk penjamu kita (yang menjamu hidangan kepada kita).

17. MEMBASUH TANGAN SESUDAH MAKAN

Nabi SAW bersabda: "Siapa tidur sedangkan di tangannya terdapat daging busuk dan dia tidak membasuhnya; tiba-tiba dia dikenai sesuatu, maka janganlah dia mencela melainkan ke atas dirinya (sendiri)." (HR Abu Daud dan Tirmidzi)

Orang yang tidak membasuh tangan sesudah makan akan menyebabkan tangannya kotor dan ini berkemungkinan akan menyebabkan kemudharatan. Seperti serangga atau binatang tertarik dengan sisa atau bau makanan di tangannya.

18. MENDAHULUKAN ORANG YANG BERADA DI SEBELAH KANAN

Hadits menyebutkan: "Pernah dibawakan susu yang telah dicampur air kepada Nabi SAW; sedang di sebelah kanan baginda ada seorang Arab desa dan di sebelah kiri baginda terdapat Abu Bakar, maka lalu baginda minum, kemudian baginda memberikannya kepada orang Arab desa sambil baginda bersabda: "Hendaklah (disambung) kepada orang yang di sebelah kanan, kemudian orang yang di sebelah kanan."" (HR Bukhari dan Muslim)

19. PEMBERI MINUM, MINUM YANG TERAKHIR

Dalam hadits sumber dari Abu Qataadah yang panjang, Nabi SAW bersabda: "...Sesungguhnya yang pemberi minum kepada suatu kaum itu, dialah peminum yang terakhir." (HR Muslim)

20. LARANGAN MAKAN DAN MINUM DALAM BEKAS/MANGKOK EMAS DAN PERAK

Hadits menyebutkan: "Barangsiapa minum dalam bekas dari emas atau perak, maka sesungguhnya akan menggelegak dalam perutnya (bakaran) api neraka." (HR Muslim)

Ilmuwan Islam sependapat tentang keharaman makan menggunakan mangkok emas dan perak sama ada bagi lelaki ataupun perempuan.

Wallahu a’lam.

No comments: